Carian Kursus

Pengumuman

Borang Permohonan Mengikuti Latihan Kemahiran GIATMARA boleh didapati secara percuma melalui :

1. Muat turun di laman web www.giatmara.edu.my.

2. Datang sendiri ke setiap GIATMARA berhampiran .

3. Hubungi Pejabat GIATMARA Negeri yang berdekatan.

Sebutharga

AMANAT Y.B. DATO' SERI HAJI MOHD. SHAFIE BIN HAJI APDAL
Disediakan oleh Jabatan Perhubungan Korporat   
Amanat Menteri KKLW

AMANAT Y.B. DATO' SERI HAJI MOHD. SHAFIE BIN HAJI APDAL

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH (KKLW) SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KKLW BIL. 1/2010 14 JANUARI 2010, AUDITORIUM BLOK D8, KOMPLEKS D, PUTRAJAYA


BISMILLAHHIRAMANNIRRAHIM

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

1.     Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T., dengan limpah dan kurnia-Nya, pada pagi ini kita sekali lagi dapat berhimpun di Majlis Perhimpunan Bulanan KKLW.  Perhimpunan bulanan kali ini merupakan yang pertama bagi tahun ini.  Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga KKLW dan seterusnya Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431.  Saya berharap sempena tahun baru 2010 dan Hijrah 1431 ini kita semua akan mempertingkatkan azam serta memperteguhkan tekad bagi memikul dan menunaikan amanah besar bagi membangunkan kawasan luar bandar.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

PRESTASI KKLW SEPANJANG TAHUN 2009

2.     Sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin membawa tuan-tuan dan puan-puan kembali melihat tahun 2009.  Menganalisa kejayaan dan kekuatan kita, juga kekurangan dan kelemahan.  Melihat pencapaian dan kejayaan akan menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghadapi 2010 dan tahun-tahun mendatang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3.     Sepanjang tahun 2009, pelbagai cabaran dan kejayaan telah kita hadapi dan kecapi.  Yang paling ketara pada tahun lepas, buat pertama kali dalam sejarah, peruntukan yang sangat besar iaitu RM3.581   bilion  telah disediakan kepada KKLW.  Ini menunjukkan komitmen jitu kerajaan dalam usaha membantu masyarakat luar bandar.  Berkat kesungguhan kita, prestasi pelaksanaan projek dan kewangan tahun 2009 boleh dibanggakan. Sehingga 31 Disember 2009 sejumlah RM3.51 bilion atau 97.97% telah dibelanjakan.  Saya yakin kejayaan ini bukan mudah untuk dicapai. Tahniah diucapkan.

 

Pencapaian Secara Numerical

4.     Secara lebih terperinci, antara pencapaian KKLW bagi tahun 2009 adalah:

● Membina jalan sepanjang 228.91km untuk jalan luar Bandar dan 1,095.95km untuk jalan kampung.

●  Sebanyak 19,664 unit rumah telah mendapat manfaat bekalan air bersih di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar manakala sejumlah 14,966 unit rumah telah menerima bekalan elektrik 24 jam di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar.

●  Sebanyak 38,121 unit rumah telah menerima faedah daripada pelbagai projek-projek kecil di bawah Program Ameniti Sosial  seperti membina/membaik pulih Balai Raya/ Dewan Orang Ramai, kemudahan hentian bas dan kemudahan rekreasi (gelanggang sukan/futsal). 

● Sebanyak 12,105 buah rumah telah dibina di bawah Program Bantuan Rumah Pakej Rangsangan Ekonomi 1.

● 8,995 projek pembasmian kemiskinan bagi membantu seramai 63,379 keluarga miskin tegar.

● Medan Infodesa – Sejumlah 17 buah MID dibina pada tahun 2009 menjadikan bilangan MID 176 buah.

● Pembiayaan Perniagaan di bawah MARA dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) sejumlah RM267 juta kepada 5,648 usahawan menjadikan sehingga kini 37,889 usahawan mendapat pembiayaan berjumlah RM1.73 bilion.

● Latihan dan bimbingan kepada seramai 16,580 usahawan.

● Penyediaan ruang-ruang perniagaan kepada usahawan Bumiputera yang mana kini jumlahnya telah pun mencecah 6,407 lot premis.

● Latihan kempimpinan kepada 6,772 orang JKKK/JKKKP.

● Di bawah program Tanam Semula Getah dan Kelapa Sawit, RISDA telah berjaya menanam semula getah seluas 19,944 hektar dan 10,145 hektar kelapa sawit yang melibatkan 33,157 pekebun kecil.

 ●  FELCRA pula berjaya membangun tanah seluas 566 hektar dengan getah dan 8,931 hektar dengan kelapa sawit yang melibatkan 6,689 peserta (95% daripada sasaran 10,000 hektar).  FELCRA juga berjaya menanam semula tanah seluas 859 hektar getah dan 10,616 hektar kelapa sawit yang melibatkan 4,334 peserta (164% daripada sasaran 7,000 hektar).

●   Pendidikan – Sejumlah 189,047 kanak-kanak mendapat pendidikan Pra Sekolah di 8,316 buah Tabika KEMAS dan  sejumlah 28,380 pelajar di 43 buah MRSM.

Pencapaian dan Perubahan Dasar

5.     Selain daripada pencapaian yang dapat kita ukur dengan angka, KKLW telah berjaya menubuhkan Flying Squad  bagi membuat pemantauan dan mengambil tindakan serta-merta dalam pelaksanaan projek-projek.  Pihak JPA telah meluluskan perjawatan KKLW di peringkat negeri bagi memantapkan struktur organisasi Kementerian.  Kita juga telah berjaya membuat beberapa perubahan dasar dan pindaan akta dalam tahun 2009 antaranya:

 ●  Pindaan Akta RISDA  telah diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-12.


●  Dasar Pembangunan dan Pemberimilikan Tanah Orang Asli  telah diluluskan dalam mesyuarat majlis Tanah Negara Ke-65.


●  Penubuhan Focus Group  Membasmi Kemiskinan di Peringkat Daerah telah diluluskan oleh Jemaah Menteri.   

    Penubuhan Focus Group ini melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai Daerah dan para pegawai yang berkaitan.

 
Set back (kelemahan/kekurangan) in 2009

6.     Antara beberapa perkara yang boleh diperbaiki/ Órooms for improvement  adalah:

Pertama: Banyak program/projek yang dilaksanakan berdasarkan output base berbanding outcome  dan income base approach ;

Kedua: Program/projek lebih tertumpu kepada penyediaan infrastruktur dan pembangunan berbentuk fizikal.  Manakala program bagi pembangunan modal insan masih terlalu kurang;

Ketiga: Terdapat agensi yang masih kurang berhati-hati/teliti dengan prosedur kewangan dan tatacara perolehan;

Keempat; Masih wujud pembaziran sama ada dalam menguruskan kewangan, aset atau tenaga kerja; dan

Kelima: Kurang kerjasama/sinergi antara agensi-agensi KKLW – masih bekerja secara sendirian.  Aset, kekuatan serta sumber yang ada tidak digembleng secara maksima.

Keenam: Kita kurang fokus dan kurang memberi tumpuan dalam melaksanakan projek/aktiviti.

7. Walaupun secara realiti, cabaran serta kukurangan ini berat dan sukar, namun tidak bermakna ianya tidak dapat di atasi.  Sekiranya kita perhalusi dan susun strategi dengan teliti, kita pasti dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.

HARAPAN DAN CABARAN PADA TAHUN 2010

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

8.     Sebagaimana yang kita sedia maklum, tahun 2010 meruapakan tahun yang amat signifikan:

Pertama: Tahun Terakhir RMKe-9

Di bawah RMKe-9, KKLW telah diperuntukan sejumlah RM16.47 bilion  iaitu merupakan satu jumlah yang amat besar.  Daripada jumlah tersebut,sehingga 31 Disember 2009, sebanyak RM12.07 bilion atau 73.26% telah dibelanjakan.   Ini bererti lebih 25% daripada peruntukan RMKe-9 masih belum dibelanjakan, secara langsung banyak lagi projek yang belum disiapkan.  Sehubungan dengan itu, Kementerian dan agensi dikehendaki memastikan semua program dan projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan bagi mencapai matlamat RMKe-9.

Kedua: National Key Result Area (NKRA)  Infrastruktur Luar Bandar

10.     Tahun 2010 merupakan tahun pertama bagi melaksanakan National Key Result Area  (NKRA).   Untuk makluman semua, seperti mana yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana menteri, terdapat 6 NKRA yang ditetapkan.  Di bawah NKRA luar bandar, terdapat 4 sub-NKRA yang diberi fokus iaitu Jalan Perhubungan, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Program Bantuan Rumah. Secara perbandingan dengan yang lain, NKRA Luar Bandar merupakan yang paling mencabar dengan peruntukan yang terbesar menghampiri RM 17 bilion ringgit dan perlaksanaannya akan mengambil masa yang agak panjang.

11.     Jika diukur dari segi kuantitinya , setiap satu dari 4 sub NKRA menuntut usaha, masa dan kewangan yang berlipat ganda lebih tinggi daripada apa yang kita lakukan selama ini. Contohnya, bagi Jalan Luar Bandar, selama 5 tahun di bawah RMKe-9, di Sabah dan Sarawak, kita merancang untuk membina 350km jalan. Manakala di bawah NKRA, dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu hanya 3 tahun, kita akan membina Jalan Luar Bandar sepanjang 1,500km iaitu lebih daripada 4 kali ganda panjangnya.

Ketiga : Minister Key Result Area (MKRA)        

12.     Selain NKRA, mulai tahun 2010 ini, Kementerian juga akan melaksanakan Minister Key Result Area (MKRA).  Kementerian telah menetapkan 3 sub-MKRA iaitu : Peningkatan Pendapatan Pekebun Kecil, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Masyarakat Orang Asli.

Keempat : Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10)         

13.     Tahun 2010 juga merupakan tahun bagi Kementerian membuat persediaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Disamping tumpuan kepada projek-projek di bawah NKRA, fokus turut diberikan kepada pembangunan manusia dan usahawan bagi memastikan negara mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi .  Saya difahamkan bahawa RMKe-10 akan dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi pada akhir bulan Februari 2010. Ini bererti kita cuma ada masa lebih kurang 6 minggu dari sekarang untuk menyediakan cadangan RMKe-10. Sekali lagi, saya tegaskan, ini juga menuntut pengorbanan yang bukan sedikit daripada kita semua.

Kelima : Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar

14.     KKLW sedang dalam proses menggubal Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar  seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2010 pada Oktober 2009. Pelan Induk ini akan menjadi garis panduan pembangunan luar bandar secara menyeluruh sepanjang tempoh 10 tahun akan datang, iaitu sehingga negara mencapai Wawasan 2020. Pelan Induk ini menentukan hala tuju pembangunan luar bandar disamping menjadi garis panduan untuk pelaksanaan pembangunan oleh agensi-agensi berkaitan.

15.     Pelan Induk ini dijangka siap pada bulan September 2010, di mana ia akan menjadi tumpuan  dalam penyelarasan pembangunan luar bandar dengan mengambil kira rancangan pembangunan fizikal semasa seperti Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Dasar Perancangan Desa Negara oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD). Pelan Induk ini juga akan mengintegrasikan dasar-dasar pembangunan baru dan yang sedia ada termasuk juga keputusan-keputusan Kabinet.


Keenam : Pembangunan Masyarakat Orang Asli      

16.     Memandangkan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli telah diluluskan pada tahun lepas, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) perlu segera menyediakan road map  bagi memastikan pelaksanaan Dasar tersebut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang berkaitan. Seterusnya, fokus perlu diberikan kepada pindaan Akta Orang Asli 134 (1954) supaya dapat disesuaikan dengan keadaan semasa. Saya bercadang untuk membentangkan pindaan ini pada Sidang Parlimen yang akan datang.

7.     Selain daripada itu, KKLW juga menubuhkan Focus Group  bagi pembangunan Orang Asli. Ia berperanan untuk melonjakkan pembangunan Orang Asli dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi, pendidikan, keusahawanan, infrastruktur dan kesihatan. Saya berharap Focus Group  ini akan benar-benar dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komitmen.

MELANGKAH KE HADAPAN       

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Membanteras Kemiskinan Luar Bandar

18.     Saya ingin berkongsi pandangan dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, tentang kejayaan negara China Dan Vietnam membanteras kemiskinan di negara masing-masing.

19.     Bagi negeri China, dalam tempoh 20 tahun, iaitu dari tahun 1981 hingga 2001, dengan berasaskan kepada ukuran garis kemiskinan oleh Bank Dunia iaitu pendapatan US$1 sehari, seramai hampir 400 juta, saya ulangi 400 juta, penduduk termiskin di China berjaya dibebaskan dari belenggu kemiskinan. Banyak faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan ini, antaranya termasuk peningkatan kadar produktiviti, dasar terbuka berhubung perdagangan dan pelaburan langsung asing.

20.     Kedua, Negara Vietnam. Selepas hampir menjadi padang jarak padang tekukur akibat peperangan yang berpanjangan, Vietnam telah pantas bangun semula. Dalam tempoh 10 tahun lepas, Vietnam berjaya mencatat kadar pertumbuhan ekonomi purata tahunan sebanyak 7.6 peratus, di antara yang tertinggi di dunia. Dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini, Vietnam berjaya membebaskan seramai 20 juta penduduk daripada kemiskinan dalam tempoh hanya 10 tahun.    
21.     Saya sengaja membawa dua contoh ini untuk kita renungkan bersama. Untuk sama-sama kita menilai kembali. Apakah usaha, apakah ikhtiar, apakah tindakan yang telah kita lakukan dalam membanteras kemiskinan, memandangkan inilah Ňcore businessÓ KKLW. Perkara ini menjadi sangat relevan kerana kebiasaannya luar bandar dilabelkan sebagai mundur dan miskin. Andaikata negara lain mampu memecahkan lingkaran kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan berjuta, mengapa kita tidak boleh melakukannya?

Repositioning Luar Bandar

22.     Untuk memastikan masyarakat luar bandar negara kita setaraf dengan masyarakat luar bandar di negara maju dari aspek kesihatan, pendidikan, sikap dan cara hidup, usaha yang lebih gigih perlu dilakukan sekarang. Kita tidak mahu persepsi negatif mengenai luar bandar iaitu ianya digambarkan tempat pengangguran, banyak kemiskinan dan tiada peluang pekerjaan dalam erti kata lain kemunduran berleluasa.

23.     Kita perlu mencontohi bagaimana negara-negara maju telah berjaya mengubah imej luar bandar. Kawasan luar bandar yang berimejkan mundur, tidak maju dan tidak mempunyai nilai kekayaan telah ditukar menjadi tempat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa disertai dengan peluang-peluang dalam bidang perekonomian dan industri. Sebagai contoh, di Jepun, kawasan luar bandar bukan hanya sebagai tempat melancong, malahan menjadi pilihan penempatan bagi golongan elit dan penduduk berpendapatan tinggi.

24.     Berasaskan kepada keperluan yang mendesak ini, saya ingin memastikan agar setiap agensi MARA, KEMAS, INFRA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KEDA, KETENGAH, KESEDAR, JHEOA dan semua agensi yang terlibat dapat menjadi pemacu dan peneraju pembangunan modal insan luar bandar. 

25.     Program Pelan Tindakan Desa yang telah dilaksanakan oleh INFRA adalah satu program yang baik dalam meningkatkan keupayaan komuniti luar Bandar.  Program ini wajar diteruskan, namun perlu difikirkan usaha-usaha untuk penambahbaikan bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat manfaat yang maksimum dan seterusnya membantu meningkatkan daya masyarakat kampung.

Memperkasa Pembangunan Ekonomi melalui Pembangunan Usahawan dan Enterprise          
   
26.     Langkah untuk memperkasa pembangunan usahawan perlu diteruskan.  Contohnya di Amerika Syarikat, hampir 80% daripada syarikat yang menggerakkan ekonomi negara tersebut adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana atau EKS.  Di negara kita juga terdapat bilangan usahawan EKS yang sangat besar.  Mereka merupakan peneraju dalam mencipta kekayaan.  Sehubungan itu, saya akan memastikan program pembangunan usahawan yang akan digerakkan selepas ini, mestilah bersifat bersepadu, holistik dan berterusan.

27.     Satu kajian keberkesanan perlu dijalankan segera bagi menambah baik program pembangunan usahawan ke arah melahirkan usahawan yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan. Apatah lagi dengan lanskap perniagaan  kini yang telah berubah, maka kita perlu lebih fleksibel supaya program kita menepati kehendak komuniti usahawan di semua peringkat.  Kita mahukan produk atau perkhidmatan yang bukan hanya boleh dipasarkan di dalam negara malah boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

28.     Justeru, saya berharap perkara ini dapat kita gerakkan melalui penyusunan semula anak-anak syarikat di bawah agensi KKLW yang sedang beroperasi pada hari ini.  Transformasi kepada gerakan ini amat perlu sebagai langkah awal mengurangkan pergantungan berlebihan kepada kerajaan.

29.     Di samping itu, dalam meningkatkan tahap pencapaian perniagaan, kita perlu mewujudkan rantaian nilai daripada aktiviti hiliran dan huluan.  Usaha-usaha ini perlu dilakukan segera.  RISDA dan FELCRA umpamanya, perlu pergi lebih jauh.  Jangan hanya berpuas hati dengan peningkatan produktiviti.  Tapi perlu mempelbagaikan aktiviti huluan – mesti mewujudkan nilai tambah, kerana yang sebenarnya pendapatan akan dapat dilipatgandakan bila ada aktiviti nilai tambah. Usaha juga perlu diambil untuk mengadakan ekspo produk luar bandar secara lebih tersusun sebanyak duakali setahun bagi mempromosikan produk luar bandar seperti makanan, kraf tangan, pakaian iaitu batik/ songket serta makanan kesihatan. Dalam ekspo tersebut semua usahawan dalam bidang masing-masing akan dijemput, di samping peniaga besar dalam dan luar negara. Dengan cara ini pemadanan perniagaan dan jalinan kerjasama, selain promosi dan perluasan pasaran akan dapat diwujudkan. Dalam hal ini, saya melihat MARA boleh memainkan peranan sebagai peneraju utama dalam penganjuran ekspo ini.

Reengineering of  MARA

30.      Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyentuh MARA dengan agak mendalam memandangkan MARA merupakan di antara agensi terbesar di bawah KKLW. Saya sarankan agar kita dapat melihat kembali semangat dan falsafah penubuhan MARA, di mana kedudukan MARA masa kini dan hala tujunya di masa akan datang.

Pertama: Pendidikan Akademik Cemerlang

31.     Sektor pendidikan MARA perlu dinilai kembali. Sistem semasa perlu dikaji dan perubahan-perubahan berani perlu dilakukan dalam semua aspek penjanaan bakat cemerlang, sama ada dari sudut pembinaan intelektual, emosi, spiritual dan fizikal. Kita perlu meletakkan benchmark  dengan institusi terbaik dunia tidak kira di timur atau di barat, di Jepun atau di Eropah. Kita juga perlu mengkaji elemen penting yang mampu melahirkan kumpulan ahli akademik dan pemikir hebat dalam pelbagai bidang.

32.     Justeru, kecemerlangan sedia ada pada hari ini perlu kita pertingkatkan dan diperkemaskan lagi. Kita mahukan pelajar cemerlang yang lahir dari sistem MRSM adalah bertaraf dunia. Kita beri peluang seluas-luasnya kepada mereka untuk menjadi pakar dalam bidang yang mereka minati. Saya telah pun mengarahkan sebelum ini supaya MARA membuat kajian yang lebih mendalam agar pelajar MRSM diberi peluang untuk terus cemerlang. Kita perlu menempatkan mereka ke universiti tersohor di seluruh dunia seperti Harvard, Cambridge dan Oxford. MARA perlu merancang dengan lebih teliti dengan menetapkan sasaran bilangan pelajar dan keperluan peruntukan.

33.     Kita sarankan mereka meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana dan seterusnya Kedoktoran, di samping mengambil sijil-sijil profesional. Mungkin juga pada masa akan datang kita akan menempatkan mereka menjalani latihan praktikal di Multinational Corporation (MNC) supaya terlatih dalam lingkungan budaya kerja berprestasi tinggi.

34.     Perkara ini amat penting supaya kita bukan hanya mampu melahirkan pekerja dan pemikir hebat sahaja, tetapi lebih dari itu. Kita mahu melahirkan pemimpin berkaliber, sama ada dalam bidang korporat, mahupun di dalam atau luar negara.


Kedua: Program Latihan Kemahiran
35.     Pada masa ini, MARA turut diiktiraf atas daya usaha cemerlang melaksanakan program latihan kemahiran. Setakat ini melalui GIATMARA kita telah melatih seramai 191,928 pelajar (1986 sehingga 2009) dan IKM seramai 111,058 pelajar (1968 sehingga 2009). Manakala UniKL dan GMI, seramai 25,875 pelajar (1992 sehingga 2009). Walau bagaimanapun usaha kita tidak boleh terhenti setakat ini sahaja. Kita cipta satu sistem latihan kemahiran MARA yang bersifat holistik. Pelajar yang dilahirkan bukan sekadar untuk mencari pekerjaan tetapi boleh menjadi seorang majikan yang berjaya.

36.     Justeru saya berpandangan sudah tiba masanya untuk MARA mewujudkan lebih banyak kolej-kolej berasaskan teknikal dan kemahiran bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang boleh memenuhi kehendak pasaran. 

37.     Saya melihat GIATMARA sebagai satu landasan terbaik untuk mendekati golongan belia luar bandar. Latihan kemahiran yang ditawarkan oleh GIATMARA membolehkan belia mendapat kemahiran teknikal yang seterusnya dapat diguna pakai untuk menjana pendapatan. Tindakan susulan perlu diambil oleh GIATMARA untuk membimbing mereka menceburi bidang perniagaan bagi meningkatkan lagi pendapatan. Contohnya, Conversion Program iaitu program peralihan daripada kemahiran kepada keusahawanan di kalangan anak didik GIATMARA, dapat dilaksanakan menerusi kemudahan Inkubator selepas mereka mampu berdikari. Dengan cara mewujudkan usahawan mikro atau kecil di komuniti setempat, migrasi belia desa ke kota akan dapat dikurangkan.

Ketiga: Pembangunan Usahawan dan Enterprise

38.     Sehingga kini MARA telah memberi latihan dan bimbingan kepada seramai 16,581 usahawan sepanjang tempoh 2009. Selain daripada itu, MARA turut menyediakan ruang-ruang perniagaan kepada usahawan Bumiputera yang mana kini jumlahnya telah pun mencecah 6,407 lot premis.

39.     Suatu ketika dahulu MARA terkenal sebagai sebuah agensi kerajaan yang berjaya melahirkan usahawan dan perniagaan dalam pelbagai bidang. Kita pernah terlibat dalam industri yang tidak pernah diceburi oleh kaum Bumiputera dalam skala besar dan penglibatan anak-anak syarikat MARA dalam bidang ini telah mengubah persepsi usahawan Bumiputera bahawa kita berupaya membina empayar perniagaan sendiri.

40.     Maka pada hari ini kita perlu melihat terus ke hadapan untuk membina semula budaya keusahawanan dalam MARA. Saya mencadangakan agar MARA melalui MARA Inc. Dapat menceburi bidang-bidang baru. Antara bidang baru dan bakal muncul yang boleh diberikan perhatian adalah sepertipetrochemical, nanotechnology, biotechnology, neurotechnology dan juga aplikasi ICT secara meluas.

Keempat: Menjana Pendapatan Sendiri

41.     Suka saya menyarankan agar MARA melihat jauh ke hadapan dan mempunyai visi dan misi yang hebat. Ini perlu bagi memperkasakan MARA untuk muncul sebagai satu organisasi terulung – sebagai lambang kejayaan bangsa. Untuk itu, MARA tidak lagi boleh terus selamanya bergantung kepada Kerajaan. MARA mesti berdikari.

42.     Sehubungan itu, beberapa pendekatan boleh dilakasaakan oleh MARA. Pra syaratnya urus tadbir perlulah tersusun dan terarah mengikut paksi dan landasan yang jelas.

Anjakan paradigma dari segi pembangunan program dan strategi melalui pengkomersilan program-program pilihan. Contohnya UniKL dibuka kepada pelajar –pelajar antarabangsa. Dengan memiliki aset sekitar RM8 billion. MARA perlu memanfaatkan harta MARA ini dengan merangka Strategi pengurusan Aset yang berkesan.  Saya melihat wujudnya kemungkinan untuk kita melaksanakan pengkorporatan terhadap beberapa aktiviti MARA sebagai contoh pengurusan premis dan kitipan hutang agar pulangan hasil dapat ditingkatkan.

43.     MARA perlu lebih proaktif menjalin kerjasama erat dengan syarikat-syarikat korporat tanah air seperti Petronas, TNB, CIMB dan lain-lain. Dalam hal lain, saya berharap agar program latihan-latihan peningkatan dan pembentukan pegawai-pegawai MARA dapat diperkasakan melalui Program Latihan Praktikal di syarikat multinasional dalam dan luar negara kerana ia merupakan pelaburan yang paling berharga untuk sesebuah organisasi.

Kelima: Pengurusan Bakat

44.     Untuk mencapai segala apa yang digariskan tadi bergantung kepada struktur organisasi dan keupayaan dalaman MARA secara langsung. Kerana itulah, bagi memastikan MARA terus kekal memacu pertumbuhan dan perkembangannya, maka kita amat perlu kepada human capital  yang mempunyai daya keupayaan yang tinggi .


45.     Untuk melahirkan organisasi bertaraf dunia, kita memerlukan modal insan yang intelektual dan berdaya tinggi. Ianya bermula daripada pembinaan warga kerja MARA yang mampu berfikir melangkaui pemikiran sedia ada . Untuk itu saya menyarankan selain daripada melakukan penstrukturan organisasi, saya telah mulakan dengan membawa Ketua Pengarah MARA yang baru daripada luar lingkungan warga MARA.

Transformasi Warga KKLW

46.     Dalam melaksanakn tanggungjawab sebagai anggota Kementerian, kita perlu memiliki sikap proaktif, kreatif dan inovatif. Ketiga-tiga sikap tersebut adalah penting bagi memastikan kementerian ini mencapai objektif, visi dan misi. Warga kementerian yang inovatif perlulah berintegriti, gigih berusaha, sentiasa ingin tahu, berani dan mempunyai sifat rendah diri. Kebebasan berfikir secara kreatif dan inovatif akan memberikan sumbangan yang besar dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

47.     Saya suka menyarankan agar warga KKLW mengamalkan sikap-sikap positif dan produktif. Di antaranya:
     ●     Fokus ketika melaksanakan tanggungjawab dan menganja paradigma;
     ●     Mulakan dengan menetapkan matlamat yang jelas
     ●     Mendahulukan perkara yang penting
     ●     Bekerjasama untuk mencapai kejayaan
     ●     Berusaha untuk memahami dengan sejelas-jelasnya mengenai sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan atau tindakan;
     ●     Bertindak bijak – berbelanja sedikit dan hasil yang lebih
     ●     Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk mencapai kecemerlangan

Berfikiran Positif dan Muhasabah Diri

48.     Dalam menghadapi cabaran, kita perlu berfikiran positif, jangan mudah berputus asa. Cuba kita lihat kesungguhan Thomas Edison. Beliau gagal sebanyak 6,000 kali dalam mencipta lampu. Semasa ibunya berkata beliau gagal dan tidak perlu mencuba lagi. Beliau menjawab, "Tidak, sebenarnya saya tidak gagal sebaliknya saya berjaya mengenal pasti 6,000 cara yang menyebabkan lampu tidak menyala", dan dalam percubaan berikutnya, lampu ciptaan Edison terang menyala.

49.     Saya juga ingin sarankan supaya kita sentiasa bermuhasabah demi memperbaiki kelemahan diri kita. Sesungguhnya seseorang mukmin yang baik itu menjadikan hari ini lebih baik berbanding semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini. 

50.     Selain itu, dalam keadaan ekonomi global dan negara yang kurang memberangsangkan, kita hendaklah sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemat dan seterusnya berusaha mengelakkan pembaziran dalam menguruskan kewangan negara.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah al Furqan ayat 67:

dan mereka – hamba-hamba Allah yang berbakti – itu apabila menafkahkan hartanya, maka mereka itu tidak melampaui batas – terlalu boros – dan tidak perlu bersikap kikir, tetapi pertengahan antara keduanya itu.”

MEMPERERATKAN SILATURRAHIM SESAMA WARGA KKLW

51.     Saya juga ingin mengambil kesempatan pada kali ini, menggesa supaya kita dapat mewujudkan esprit de corps  dan saling kenal mengenali antara warga KKLW. Dengan kerjasama padu dan saling faham memahami, yang kusut dapat dirungkai, yang sukar dapat dimudahkan. Oleh itu, saya berharap supaya program-program, bersifat kekeluargaan seperti Hari Sukan dan Hari Keluarga dapat dilaksanakan lebih kerap di peringkat Kementerian dan agensi.

 PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

52.     Sekali lagi ingin saya ingatkan kita semua bahawa tahun 2010 merupakan tahun terakhir pelaksanaan RM Ke -9. Strategi bina upaya negara perlu dilipatgandakan supaya dapat terus berdaya saing dan maju dalam suasana global yang kian mencabar. Kita perlu teliti dalam merangka setiap perancangan. Untuk itu, kita perlu jelas dengan apa yang kita mahu. Pembangunan fizikal bagaimana yang kita inginkan. Modal insan bagaimana yang hendak kita bina / wujud. Tahun 2020 sudah amat hampir, Cuma 1 dekad atau 10 tahun sahaja, luar bandar bagaimana yang kita ingin lihat. Semuanya ini kita perlu jelas.


53.     Tugas ini amat berat. Saya memerlukan pasukan yang benar-benar komited, amanah, jujur dan yang sanggup bekerja keras untuk memastikan segala perancangan kita dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan, di samping tidak mengulangi kesilapan-kesilapan masa lalu. Jangan sesekali kita leka atau complacent . Sebaliknya, setiap kekuatan akan mendorong lebih banyak kejayaan, InsyaAllah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

54. Marilah kita mengambil ikhtibar dari pesanan Saidina Ali. R.a. iaitu –

Takutkan Allah dalam berurusan dengan masalah golongan miskin, kerana mereka tidak mempunyai sesiapa untuk berlindung, terbiar, susah dan tidak bermaya. Dan yang kusut fikirannya kerana menjadi mangsa kepada takdir yang berlaku

Demi Allah, tunaikanlah hak-hak mereka kerana di atas bahumulah terletaknya tanggungjawab untuk melindungi mereka. Peruntukkanlah sebahagian besar dari harta kerajaan (Baitulmal) untuk meninggikan taraf hidup mereka, walau di mana sahaja mereka berada sama ada di sekitarmu atau jauh di hujung negeri. Mereka semua mempunyai hak yang sama.

Jangan sama sekali kesibukan melupakan kamu kepada mereka. Jangan engkau ketepikan kepentingan mereka dalam mengambil sebarang keputusan. Awasilah dirimu dari mereka yang memandang enteng kehendak golongan miskin dan mahukan kamu melupakan mereka.

Bersabarlah engkau sekiranya mereka berbahasa kasar sedikit kepadamu dan janganlah engkau jemu jika mereka sukar berbicara dengan jelas, kerana dalam keadaan sebegitu, Allah s.w.t akan membuka pintu rahmat-Nya seluas-luaskan padamu. Apa sahaja yang boleh engkau berikan kepada mereka, berilah dengan penuh kerelaan, dan apa yang tidak mampu engkau berikan, jelaskanlah kepada mereka keadaan sebenarnya dengan ikhlas.”

55.     Saya menyeru agar kita semua mengikhlaskan diri dan membetulkan niat, agar segala kerja kita dipermudahkan dan hasrat murni kita tercapai. Kuatkan azam, cekalkan semangat dan bulatkan tekad demi menjunjung gagasan murni. Dengan ikhtiar dan doa, segala yang sukar, segala yang mustahil, akan jadi mudah, akan pasti menjadi nyata, Insya-Allah.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
semua warga KKLW di atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan. Saya berharap kerjasama ini dapat terus diperkasakan bagi mencapai matlamat memakmurkan masyarakat luar bandar.

Bersama kita memanjatkan doa bersungguh-sungguh dan seikhlasnya semoga tahun 2010 akan membawa lebih kejayaan dan seribu kerahmatan kepada kita semua. Bersama-sama kita berikhtiar dan kepada Allah jua kita berserah.

Sekian, Wassalam.

MenteriKKLW

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  Y.B. DATO' SERI HAJI MOHD. SHAFIE BIN HAJI APDAL
MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH (KKLW)
 
Icon G-SPel
 
e-Perolehan GIATMARA
 
Email Anggota Kerja GIATMARA
 
G-SPel Training

Waktu Solat

[ Tukar Kawasan ]
Tutup

Login








Lost Password?
© 2009 GIATMARA Malaysia